Sunday 30 June 2013

Sejarah Masjid Tanah

  Masjid Tanah mendapat nama sempena sebuah masjid yang terletak di tengah-tengah pekan yang dibina daripada tanah di tepi sungai. Lokasinya terletak di dalam Pekan Masjid Tanah. Masjid ini dibina pada tahun 1800-an oleh seorang Sheikh yang berasal dari Gujerat. Namun, Haji Sulong bin Sibeng merupakan orang tempatan yang turut bekerja keras dalam pembinaannya. Pada awalnya, pembinaan masjid ini berasaskan tanah. Oleh itu, masjid tersebut dikenali sebagai Masjid Tanah. Masjid ini pernah menjadi tempat sembahyang bagi orang-orang dari Kampung Tengah, Kampung Durian Daun dan beberapa kampung lain sebelum kewujudan masjid-masjid di setiap kampung di kawasan Masjid Tanah. 



  Pada tahun 1951, masjid ini telah diubahsuai. Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah memperbaiki tapak dan menggantikan atapnya. Masjid ini hanya dijadikan sebagai tempat persinggahan sahaja setelah masjid baru Masjid Tanah siap dibina. Pada masa dahulu, Masjid Tanah  adalah sebuah pekan hab-perdagangan yang dibawa daripada Kota Melaka ke daerah-daerah sekitar utara Negeri Melaka dan Alor Gajah atau sebaliknya. Masjid Tanah dihuni pelbagai lapisan masyarakat yang penduduk utamanya adalah berbangsa Melayu, Cina dan India. Disebabkan lokasinya yang berada di dalam daerah Alor Gajah dan berdekatan dengan sempadan Negeri Sembilan, sebilangan besar dari penduduk Masjid Tanah dan kampung-kampung di sekitar Masjid Tanah bertutur dalam loghat Negeri Sembilan atau loghat Minang; atau lebih dikenali oleh orang Masjid Tanah dengan loghat 'Hulu' atau 'Cakap Hulu'.

  Adat Perpatih juga diamalkan oleh mereka dengan mengunakan sistem 'Suku' atau 'Waris'. Namun, lantaran peredaran zaman, adat ini makin lama semakin ditinggalkan. Tradisi 'Berkampung' yang merapatkan silaturrahim antara saudara-mara yang muda dan yang tua dan membuat perancangan untuk bekerja secara gotong royong sebelum sesuatu majlis yang besar diadakan seperti perkahwinan, telah mula ditinggalkan. Ini mungkin berlaku setelah golongan muda telah lupa akan pentingnya majlis ini dan semangat gotong royong telah diganti dengan sistem katering. Tanah-tanah pusaka juga dilihat tidak lagi diwariskan secara adat dimana anak-anak perempuan diutamakan.



Infrastruktur


  Terdapat beberapa bangunan kedai yang dibina sekitar tahun 1930-an. Bagi penduduk asal Masjid Tanah, Pekan Masjid Tanah dipanggil 'SIMPANG' merujuk kepada pekan asal yang mempunyai 3 simpang (simpang tiga di hadapan Jam Besar Masjid Tanah). Antara kampung di sekitar pekan ini ialah Kampung Lekok, Kampung Paya Rumput, Kampung Jeram, Kampung Pulau, Kampung Ayer Limau, Kampung Durian Daun, Kampung Londang, Kampung Solok Duku, Kampung Seri Tanjung, Kampung Pulau Semut dan lain-lain. 
  
  Terdapat beberapa sekolah rendah dan sekolah menengah yang terletak di pekan ini, antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi, Sekolah Kebangsaan Bukit Beringin, Sekolah Rendah Sri Laksamana, Sekolah Kebangsaan Kluster Ghafar Baba dan Sekolah Menengah Sultan Alauddin (dahulunya Sekolah Menengah Masjid Tanah); dan sekolah rendah yang tertua adalah Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah atau lebih dikenali oleh orang lama sebagai 'Sekolah Melayu' yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua. Sekolah Rendah Datuk Tambichik Karim pula dipanggil Sekolah Orang Puteh, berdasarkan nama lamanya Masjid Tanah English School.

   Terdapat sebuah sekolah aliran Cina di Pekan Masjid Tanah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Masjid Tanah.
Pada masa ini, banyak projek perumahan dibina kerana Masjid Tanah semakin pesat membangun. Sebahagian penduduknya bekerja di Bandaraya Melaka yang jaraknya lebih kurang 40 kilometer. Di samping itu, institusi-institusi pendidikan yang sudah tentunya menggunakan tenaga kerja yang datang dari segenap pelosok negara Malaysia. Berhampiran Masjid Tanah, terdapat kem-kem tentera yang mana anggota tentera dan keluarga mereka turut tinggal di sekitar Masjid Tanah. 

  Kem-kem tentera yang dimaksudkan adalah Kem Masjid Tanah (dikenali oleh orang kampung sebagai Kem Peluru atau Gudang Peluru), Kem Terendak dan Kem Sungai Udang (Kem Komando).
Manakala dari segi kemudahan kesihatan, terdapat Poliklinik Komuniti Masjid Tanah dan juga Hospital Angkatan Tentera Malaysia Kem Terendak (94 HAT). Masjid Tanah juga adalah sebuah kawasan Parlimen yang diwakili oleh wakil Barisan Nasional sejak dahulu lagi. Di Pekan Masjid Tanah, aktiviti ekonomi berjalan dengan rancak dibuktikan dengan pembinaan rumah kedai yang baru.

   Prasarana lengkap telah sedia ada di pekan kecil ini. Terdapat banyak juga institusi pendidikan yang berada dikawasan Masjid Tanah seperti Universiti Teknologi MARA Melaka di Lendu, Kolej Matrikulasi Melaka di Londang, Institut Kemahiran Belia Negara di Ramuan China Besar, Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Air Molek, Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Kuala Linggi, Kolej Komuniti di Paya Rumput dan Maktab Rendah Sains MARA Alor Gajah di Ayer Pa'abas. Sebelum pilihan raya umum tahun 2004, Masjid Tanah terletak di bawah kawasan Parlimen Alor Gajah.

  
   Bermula dari tahun 2004, Parlimen Masjid Tanah telah diwujudkan. Terdapat 5 Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Masjid Tanah iaitu DUN Tanjung Bidara, DUN Ayer Limau, DUN Lendu, DUN Taboh Naning dan DUN Kuala Linggi.Parlimen Masjid Tanah (P134) merangkumi kawasan seluas 330 kilometer persegi dengan 54,150 orang (77%) penduduk Bumiputra dan 16,000 orang (23%) penduduk bukan Bumiputra. Datuk Wira Abu Seman Bin Haji Yusop adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah pertama yang paling lama memegang jawatan tersebut selepas memenangi Pilihanraya Umum 2004 dan seterusnya memenangi Pilihanraya Umum 2008.

   Kini, Mas Ermieyati Bte Haji Samsudin memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah setelah memenangi Pilihanraya Umum 2013.

1 comment:

  1. boleh saya tanya? ini dari sumber mana ya? harap dapat bantu saya

    ReplyDelete